Soalan Lazim


Apakah itu RUMAWIP?
RUMAWIP ialah singkatan kepada Rumah Wilayah Persekutuan. Ia merupakan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan.

Apakah keunikan RUMAWIP?
RUMAWIP hanya tertumpu kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

Apakah ciri-ciri utama RUMAWIP ?
RUMAWIP hanya untuk pemilikan rumah pertama sahaja dan mensasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Berapakah bilangan RUMAWIP yang akan dibina?
Dalam tempoh masa lima tahun yang akan datang dijangka sebanyak lebih kurang 80,000 unit RUMAWIP dirancang untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.

Apakah kategori rumah mampu milik yang ditawarkan di bawah RUMAWIP?
3 kategori rumah mampu milik yang ditawarkan iaitu studio atau 1 bilik, 2 bilik dan 3 bilik dan adalah dalam bentuk rumah berstrata.

Apakah itu pendapatan isi rumah?
Pendapatan isi rumah adalah pendapatan kasar (termasuk gaji dan elaun-elaun lain) untuk isi rumah (suami dan isteri sahaja).

Bagaimana dan bila pendaftaran boleh dibuat?
Pendaftaran boleh dibuat melalui sistem atas talian di laman web Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya pada bila-bila masa dan pemilihan projek perumahan boleh dibuat apabila tawaran untuk memohon beli rumah dibuka.

Sekiranya pemohon telah memiliki rumah di negeri lain, adalah pemohon masih layak untuk memiliki unit RUMAWIP?
Boleh selagi pemohon masih belum memiliki sebarang rumah kediaman di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

Adakah sebarang pembiayaan disediakan untuk pembelian unit RUMAWIP?
Pembiayaan adalah urusan pemohon masing-masing.

Adakah pesara layak memohon untuk membeli unit RUMAWIP?
Boleh. Tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

Bolehkah unit RUMAWIP yang dibeli dan kemudiannya dijual?
RUMAWIP mensyaratkan sekatan penjualan dalam tempoh 10 tahun dan unit yang dibeli perlu didiami oleh pembeli dan tidak boleh disewakan.

Adakah unit RUMAWIP ini boleh ditawarkan dalam bentuk sewa beli?
Tidak. Unit RUMAWIP ini hanya untuk dijual sahaja.

Bolehkah pemilik unit RUMAWIP memohon untuk membeli unit yang lebih besar?
Boleh. Peningkatan pemilikan ke saiz rumah mampu milik yang lebih besar daripada yang dimiliki sekarang adalah dibenarkan dengan syarat unit lama dijual pada harga yang dipersetujui oleh agensi yang merancang dan mengawal selia RUMAWIP.

Apakah jenis dan harga rumah yang ditawarkan?

JENIS

HARGA JUALAN

SAIZ MINIMA

Rumah Harga Rendah

RM63,000 (Kuala Lumpur dan Putrajaya)

RM52,000 (Labuan)

700 kaki persegi (3 bilik tidur)

Rumah Harga Sederhana Rendah

RM63,001 - RM150,000

800 kaki persegi (3 bilik tidur)

dan 

650 kaki persegi ( 2 bilik tidur dan kurang)

Rumah Harga Sederhana

RM150,001 - RM300,000



Adakah pemohon yang bujang layak untuk memohon RUMAWIP?
Ya, layak, asalkan pendapatan isi rumah pemohon RM10,000 sebulan dan ke bawah.

Siapa yang boleh mendaftar untuk RUMAWIP?
Warganegara Malaysia berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ketika permohonan dibuat dan bermastautin atau bekerja di Wilayah Persekutuan.

Berapakah pendapatan isi rumah yang layak untuk memohon RUMAWIP?
Pendapatan isi rumah yang layak memohon RUMAWIP adalah tidak melebihi RM10,000 sebulan bagi pemohon bujang/tidak berkeluarga atau RM15,000 sebulan bagi pemohon yang telah berkahwin.

Bolehkah dokumen sokongan dihantar melalui alamat emel RUMAWIP?
Pemohon boleh menghantar satu salinan dokumen sokongan lengkap bagi permohonan RUMAWIP melalui alamat emel urusetiarumawip@kwp.gov.my. Namun salinan asal masih perlu dihantar melalui serahan tangan atau pos kepada alamat yang telah dinyatakan bagi pengesahan pihak Urusetia RUMAWIP selanjutnya.

Berapakah wang pendahuluan yang perlu dikemukakan oleh pemohon?
Pemohon yang telah berjaya mendapatkan unit RUMAWIP melalui sesi undian yang dijalankan perlu mengemukakan wang deposit sebanyak 10% daripada harga unit yang ditawarkan kepada pemaju untuk urusan jual beli selanjutnya.

Berapakah bilangan projek yang boleh dipohon oleh pemohon?
Pemohon dibenarkan untuk memohon tidak melebihi 3 projek.

Bolehkah saya menggugurkan mana-mana permohonan projek RUMAWIP yang sudah ditutup bagi membolehkan saya memilih projek baru?
Jika pemohon menggugurkan mana-mana permohonan projek RUMAWIP maka pemohon tidak lagi layak untuk memohon sekali lagi kerana permohonan RUMAWIP adalah secara "one-time off". Sebagai contoh, jika pemohon menggugurkan permohonan projek RUMAWIP X, kesannya adalah pemohon tidak boleh lagi memohon untuk projek tersebut untuk kali berikutnya. Namun, jika pemohon masih ingin untuk menggugurkan mana-mana projek RUMAWIP yang telah dipohon, sila nyatakan maklumat berikut untuk tindakan Urus Setia RUMAWIP:
i)   Nama penuh
ii)  Nombor Kad Pengenalan
iii) Projek yang ingin digugurkan

Berapakah bayaran yang akan dikenakan sekiranya pemohon menarik diri dari pembelian unit RUMAWIP selepas S&P ditandatangani?
Perkara ini adalah dibawah urusan pihak pemaju. Walau bagaimanapun, berdasarkan amalan semasa yang digunapakai oleh pemaju, caj penalti 1% daripada harga unit yang ditawarkan akan dikenakan sekiranya menarik diri dari pembelian unit tersebut selepas S&P ditandatangani.

Penyata gaji pemohon yang terkini sebulan sahaja atau 3 bulan untuk dikemukakan kepada pihak Urusetia?
Pemohon boleh mengemukakan penyata gaji terkini untuk sebulan atau 3 bulan (bagi pemohon yang mempunyai pendapatan secara komisen) untuk rujukan Urus Setia RUMAWIP.

Adakah saya perlu mencetak Surat Akuan Sumpah (original) seperti di Portal RUMAWIP?
Betul. Salinan asal surat akuan sumpah yang telah disahkan dan dokumen sokongan yang lain perlu dikemukakan kepada pihak Urus Setia RUMAWIP untuk proses tapisan selanjutnya.

Bolehkah saya memohon Ketua Kampung atau wakil rakyat membuat pengesahan Surat Akaun Sumpah tersebut?
Pihak Urus Setia RUMAWIP hanya menerima pengesahan oleh Hakim Mahkamah Sesyen/Majistret dan Pesuruhjaya Sumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1960 sahaja. Mana-mana pengesahan oleh badan atau individu yang tidak dinyatakan adalah tidak diterima.

Bolehkah saya menggunakan Surat Akuan Sumpah yang sama bagi permohonan projek RUMAWIP yang lain?
Bermula 23 Disember 2016, pemohon hanya perlu menghantar 1 set borang permohonan beserta dokumen sokongan yang lengkap bagi projek RUMAWIP yang menjadi keutamaan pertama ke tempat serahan dokumen dalam tempoh 14 hari bekerja bermula dari tarikh projek dipilih seperti yang tercatat di halaman portal RUMAWIP yang dipohon.

Jika saya menyewa sekarang, adakah saya perlu melampirkan salinan bil elektrik dan salinan bil air?
Ya, pemohon perlu melampirkan bil elektrik dan bil air atau dokumen lain sebagai bukti kediaman tersebut.

Apakah maksud reCAPTCHA?
reCAPTCHA adalah perkhidmatan percuma yang melindungi laman web daripada spam dan penyalahgunaan. reCAPTCHA menggunakan advanced risk analysis engine and adaptive CAPTCHAs untuk menyimpan perisian automatik daripada terlibat dalam penyalahgunaan.

RUMAH WILAYAH PERSEKUTUAN

Dasar Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) diwujudkan untuk menggariskan hala tuju serta dijadikan asas kepada pihak berkuasa tempatan dan juga pemaju dalam merancang serta membangunkan rumah mampu milik.